KELULUT
merupakan sejenis serangga dari keluarga APIDAE (lebah) yang
menghasilkan manisan madu dan tidak menyengat. Lebah kelulut ini bersaiz
kecil dan mempunyai 33 spesis di Malaysia di mana sebanyak 21 spesis
terdapat di Semenanjung Malaysia dan bakinya hanya ada di Sabah dan
Sarawak.
Ukurannya hanya 3 – 8mm dan sangat
lincah bergerak. Ia sangat berbeza dengan lebah Apis (Apis Dorsata-Lebah
Tualang dan Apis Cerana-Lebah Lalat) yang ukurannya lebih besar dan
pergerakkannya tidak bergitu lincah. Dengan bentuk badan lebah kelulut
yang kecil, ia dapat menghisap madu pada semua jenis bunga termasuklah
pokok-pokok herba renek yang melata di hutan hujan tropika.
Kelulut menghasilkan Madu Kelulut,
Propolis dan juga ‘Bee Bread’ iaitu campuran antara debunga (pollen)
dengan madu. Madu Kelulut berbeza dengan Madu Lebah Biasa kerana rasanya
adalah sedikit ‘MASAM’ dan warnanya adalah lebih cerah.
Koloni kelulut biasanya sangat aktif
pada musim panas dan kering yang berpanjangan dimana banyak bunga mekar.
Kajian oleh saintis mendapati madu kelulut tidak mudah berbuih atau
rosak, ini kerana kandungan propolis didalamnya yang bersifat
Anti-fermentasi semulajadi.
Madu kelulut juga dikatakan mempunyai
khasiat tinggi. Kajian telah dilakukan di Mardi menunjukkan madu kelulut
mempunyai nilai dalam perubatan tertentu. Kajian awal yang dilakukan di
Pusat Penyelidikan Teknologi Makanan, Mardi menunjukkan asid
fenilpropanaoik, asid protocatechuik dan asid 4-hidroksifenilasetik
adalah di antara bahan utama yang telah berjaya dikenalpasti dalam madu
kelulut. Bahan-bahan ini tergolong dalam kumpulan asid fenolik bebas
yang merupakan bahan aktif yang boleh bertindak sebagai antikanser dan
antioksidan dan bahan ini lebih mudah untuk diserap dalam tubuh manusia
berbanding bahan aktif lain seperti flavonoid.
Hospital Universiti Sains Malaysia
(HUSM) juga telah merekodkan bahawa madu kelulut mempunyai khasiat dari
segi perubatan. Kajian makmal telah dilakukan ke atas tikus yang telah
disuntik dengan diabetes menunjukkan madu kelulut berupaya menurunkan
glukosa selain daripada itu ia mampu mengurangkan kerosakan fungsi
ginjal dan dapat mengurangkan stress aksidatif. Selain itu kajian pada
tikus yang telah di buang ovari untuk kajian menopaus menunjukkan madu
mengurangkan atrofi pada uterus dan vagina serta meningkatkan ketebalan
trabekular tulang yang mana bermakna ia membantu manguatkan tulang
melalui penyerapan kalsium.
Dengan khasiat madu kelulut yang banyak
ini, syarikat telah mengambil inisiatif untuk memasarkan madu kelulut
kepada pengguna bagi merasai sendiri kehebatan khasiat madu kelulut.
No comments:
Post a Comment